Monday, October 18, 2010

BUDGET 2011 , OKU DAPAT RM218 JUTA

NASIB OKU DALAM BUDGET 2011 MAKIN TERSEKSA

Jumlah yang bakal diperolehi oleh OKU dalam budget 2011 yang baru dibentang oleh Perdana Menteri adalah RM218 juta. Begitu besar rasanya jumlah yang diperuntukkan. Tapi jika dilihat dengan jumlah OKU yang ada di negara kita, mengikut United Nation adalah 1% jumlah penduduk negara adalah OKU, oleh itu jumlah OKU di Malaysia dianggarkan adalah 2.6 juta. Dari jumlah RM218 juta , OKU hanya dapat RM83.84 saja. Mungkin negara kita mempunyai kurang OKU, dan katakan lah hanya 0.50% saja OKU, jumlah peruntukan adalah RM167.69 saja. Apakah yang boleh dilakukan untuk membantu OKU dengan budget yang begitu kecil.

Salah satu peruntukan yang menarik terdapat dalam budget 2011 adalah peruntukan sebanyak RM213 juta  sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang. Bayangkan OKU yang amat memerlukan bantuan cuma disediakan RM218 juta untuk 1.30 juta orang tetapi RM213 juta bagi beberapa sekolah dan Pengetua yang memang sudah bernasib baik.
Mungkin Mak Menteri kita tidak menyedari hal begini kerana amat gembira apabila diumumkan cuti bersalin ditambah kepada 90 hari. Beginilah nasib OKU.

Jika dilihat dalam budget 2011, Perdana Menteri begitu menekankan untuk menambahkan pendapatan rakyat negara kita, tetapi tiada satu inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup atau menanbah pendapatan OKU yang boleh dianggap daif di negara kita ini. Mak Menteri sekarang begitu sibuk dengan masalah sosial lain. Nasib OKU tetap tidak dibela.

Apabila pendapatan bertambah, perbelanjaan juga akan meningkat tetapi bagi OKU tidak, masih ditakuk lama.

BEGINI LAH NASIB OKU TIADA SIAPA AMBIL PEDULI.

Monday, October 11, 2010

DASAR PENGANGKUTAN AWAM TIDAK MESRA OKU

Pembentukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membentuk satu pelan pembangunan bagi sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Pelan pembangunan itu termasuk dasar-dasar yang akan mencakupi rangka kerja menyeluruh iaitu melibatkan aspek keselamatan pengguna, kecekapan perkhidmatan, rangkaian bersepadu, pengawasan yang berkesan, perancangan bersepadu dan pelaksanaan yang mapan.

Kerajaan telah menunjukkan initiatif untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam. SPAD akan bertanggungjawab mengawal selia dan merancang perkhidmatan ini termasuk rel, bas dan teksi. Antaranya, masalah kesinambungan yang dihadapi semua pengguna perlu diutamakan.
SPAD akan memberi lonjakan baru kepada sistem pengangkutan awam darat terutama di bandar. Ia bertanggungjawab mengemukakan cadangan relevan kepada kerajaan mengenai segala perkara berhubung dengan dasar yang dibangunkan.

Pengerusi SPAD menyatakan bahawa suruhanjaya akan merealisasikan maklamat yang ditetapkan secara holistik dan bukan untuk tujuan tertentu sahaja. Pelan jangka masa panjang akan dikaji. Namun adakah Malaysia berkeupayaan untuk mempertahankan pendekatan holistik ini?

Kesinambungan dan kebolehaksesan merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan daripada perkhidmatan pengangkutan awam. Kesinambungan bererti satu sambungan dari rumah ke pengangkutan awam ke destinasi dan sebaliknya. Kebolehaksesan diperlukan untuk penggunaan semua orang, sama ada orang tua, perempuan mengandung, kanak-kanak ataupun orang kurang upaya.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak dapat menyediakan satu-satu sistem yang sempurna berasaskan teori yang mudah ini. Kita boleh lihat banyak stesen bus yang dibina di kawasan yang jauh dari jalan utama yang menyebabkan pengguna tidak dapat akses ke stesen bus itu. Isu kebolehaksesan merupakan masalah yang menghantui para pengguna OKU.

Oleh sebab SPAD masih dalam peringkat awal penubuhannya, maka keperluan OKU perlu dipertimbangkan. Pembentukan jawatankuasa OKU di SPAD adalah wajar untuk dipertimbangkan. Sebenarnya, ini merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dapat dinilai oleh pengguna.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,  Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan Malaysia akan meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsan-Bangsa Bersatu tentang Hak OKU pada masa akan datang. Artikel 9 dalam konvensyen menyatakan kebolehaksesan merupakan salah satu ciri untuk penyertaan adil OKU dalam masyarakat.

Jadi, Malaysia harus membangunkan dasar pengangkutan awam yang bersesuaian dengan golongan OKU

TOKOH OKU KECEWA

JOHOR BAHRU 28 Sept. – Tersisih dan terpinggir adalah perasaan yang sering menghantui hidup golongan orang kurang upaya (OKU) berikutan kekurangan kemudahan asas untuk mereka di bangunan kerajaan, swasta dan tempat-tempat awam di negeri ini.
Tokoh OKU 2000 peringkat negeri, Low Yuen Nien, 47, berkata, kekurangan itu menyebabkan OKU tidak dapat berdikari dan melakukan urusan harian seperti individu normal.
“Kami masih bergantung dengan isteri, anak dan rakan-rakan apabila melakukan sesuatu urusan contohnya untuk pergi ke sesebuah bangunan atau meletak kereta.
“Kemudahan asas untuk OKU wajib disediakan di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan seperti di hospital atau pun bank namun kebanyakan tempat awam dilihat tidak mesra OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat aduan mengenai perkara tersebut di pejabat Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay di Taman Maju Jaya di sini hari ini.
Yuen Nien juga melahirkan rasa sedih dan kecewanya dengan sikap masyarakat yang enggan membantu golongan sepertinya dan lebih teruk lagi memandang rendah terhadap mereka.
Katanya, persepsi itu masih menebal dan keadaan tersebut membuatkan OKU berasa tertekan, merendah diri dan tidak punya tempat mengadu untuk meluahkan perasaan tersebut.
Sehubungan itu, bapa kepada empat cahaya mata itu berharap semua bangunan yang akan dibina mengikut standard dan ketetapan yang ditetapkan iaitu menyediakan kemudahan asas OKU.
“Kerajaan juga diharap dapat tubuhkan satu pusat khas OKU supaya kebajikan dan nasib mereka terbela. Contohnya kalau OKU ditindas majikan seperti gajinya tidak dicarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka boleh mengadu melalui pusat ini,” katanya.
Sementara itu, Micahel berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung masalah OKU yang kurang diberi perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab.
Jelasnya, kemudahan asas yang tidak cukup bukan masalah baru dan negeri ini seharusnya peka dengan perkara berbangkit itu dan tidak bersikap sambil lewa menanganinya.
“Kadang-kadang OKU mengadu, kemudahan asas seperti tempat letak kereta untuk OKU pun digunakan orang biasa. Ini tidak patut berlaku dan masyarakat perlu sedar tentang hal ini,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai sebuah negara bertaraf maju menjelang 2020, segala kemudahan asas untuk OKU perlu disediakan di semua tempat bagi menjaga hak dan kepentingan mereka.


* Petikan dari Utusan Malaysia

MASALAH UTAMA OKU

ISU-ISU UTAMA*

1.)  Aksesibiliti  bangunan awam dan persekitaran terbina
Akses kepada bangunan awam merupakan halangan utama bagi penyertaan OKU dalam masyarakat.
KWPKM sedang mengambil pelbagai usaha bersama pihak berkaitan seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menangani isu ini.
Antara tindakan yang diambil :
(a)      Kertas Kerja Cadangan Penyediaan Persekitaran Bebas Halangan
Kertas Kerja bersama KPKT telah dikemukakan di Majlis Negara Kerajaan Tempatan untuk memaklumkan kepada PBT:
  • Halangan dalam persekitaran terbina sedia ada dan masalah aksesibiliti serta mobiliti yang dihadapi OKU
  • Cadangan kepada PBT agar mengambil tindakan serta-merta, mengikut kesesuaian bagi memastikan persekitaran terbina dapat diakses oleh semua.
(b)      Tinjauan Kemudahan Dan Tahap Akses OKU Di Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Dan Institusi OKU
Tujuan:
  1. Menilai tahap kemudahan dan akses OKU di Pejabat Kebajikan Masyarakat  Negeri, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan Institusi OKU.
  2. Penyediakan satu pelan tindakan dalam urusan pembangunan kemudahan pejabat
  3. Meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sebagai Agensi utama yang bertanggungjawab ke atas pembangunan dan kesejahteraan golongan OKU.
(c)      Audit Akses
KPWKM bersama KPKT  akan menjalankan  Audit Akses ke atas ruang awam bagi OKU di seluruh negara. Hasil audit akses akan dikemukakan kepada pihak berkenaan seperti PBT untuk  membantu usaha Kerajaan dalam memastikan ruang awam sedia ada dan akan dibangunkan di seluruh negara adalah bebas halangan.


2)  Aksesibiliti kepada pengangkutan awam
Sistem pengangkutan awam sedia ada tidak mesra OKU - menghalang OKU daripada menjalani aktiviti harian dan kehidupan dalam masyarakat.
KPWKM telah mengambil beberapa tindakan untuk menangani masalah ini:
  1. Beberapa siri Mesyuarat/Rundingan berhubung dengan dengan pengusaha pengangkutan awam
  2. Memorandum Jemaah Menteri
    Mohon Kerajaan mengambil maklum akan masalah askes OKU kepada pengangkutan awam dan menimbangkan tindakan bagi menangani masalah ini.


3)  Pekerjaan OKU
Pekerjaan merupakan keperluan asas dan hak asasi manusia.
OKU menghadapi masalah mendapat pekerjaan produktif dan pendapatan bagi menyara hidup.
Bilangan OKU yang berjaya mendapat pekerjaan di sektor awam dan sektor swasta kurang memberangsangkan.
Sektor Awam  - Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1988 yang memperuntukan peluang 1% peluang pekerjaan bagi OKU di  sektor awam.
JKM telah membentang satu Kertas Kerja di Mesyuarat Ketua Jabatan Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara berkenaan pematuhan dasar 1 peratus peluang pekerjaan kepada OKU di sektor awam pada bulan Oktober 2007 dan mengemukakan beberapa cadangan pelaksanaan dasar.
Berikutan dengan itu, Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 2008 telah dikeluarkan untuk menggantikan Pekeliling Pekrhidmatan Bil 10 Tahun 1988 menghendakki semua Kementerian/Jabatan mengambil 1 peratus pekerja OKU, berkuatkuasa mulai 1 April
Susulan daripada itu, KPWKM telah mengadakan satu mesyuarat bersama SPA, JPA dan 16 NGO OKU yang berkaitan pada 5 Mei 2008 bagi membincangkan usaha-usaha mempercepatkan pelaksanaan Dasar 1 Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam kepada OKU. Hasil daripada mesyuarat tersebut ialah JPA, JKM dan NGO akan bekerjasama secara berterusan dalam perkara berikut:
  1. Menentukan penempatan kerja yang sesuai (job matching)
  2. Meletakkan pengecualian khas (special conditions) ke atas kelayakan-kelayakan tertentu kepada OKU yang memohon pekerjaan
  3. Melaksanakan job coaching bagi membantu OKU dan agensi di tempat kerja
  4. Mengubah minda (mindset change) para majikan dan OKU
  5. NGO akan membantu dalam mengenalpasti bidang kerja yang sesuai berdasarkan kekuatan yang ada pada seseorang kurang upaya
  6. NGO akan membantu mencari orang kurang upaya yang sesuai serta mendaftarkan mereka dan
  7. NGO akan membantu dalam memberi sebarang cadangan yang sesuai dilaksanakan.
* petikan dari http://www.jkm.gov.my/ 

ORANG KURANG UPAYA ATAU ORANG KELAINAN UPAYA

Sebenarnya, penggunaan "kelainan upaya" itu bukanlah dicetuskan di negara kita
pada asalnya.  Di peringkat antarabangsa pun telah ada usaha untuk mencari
istilah yang "sopan" untuk kita.  Dulu mereka guna "handicap".  Kemudian
bertukar kepada "disabled"  Ini yang membawa makna "Kurang upaya".  Ada juga
digunakan perkataan "impaired" seperti visually impaired dan hearing impaired. 
Kemudian "disabled" ditukar pula kepada "challenged" seperti visually
challenged dan hearing challenged.  Inilah yang diterjemahkan sebagai "kelainan
upaya" itu.

Dalam hal ini, kita tak bolehlah menyalahkan orang-orang politik kita saja. 
Mereka atau pihak-pihak yang berkaitan sebenarnya sedang cuba untuk tidak
ketinggalan daripada negara-negara lain.  Apapun, pada masa ini, rasanya
bolehlah kita terus menggunakan "kurang upaya" itu memandangkan akta yang
diluluskan oleh parlimen kita pun dinamakan sebagai Akta Orang Kurang Upaya
(Persons With Disabilities Act".  Persatuan-persatuan OKU di negara kita pun
masih mengekalkan sama ada "cacat" ataupun "kurang upaya".

Secara umumnya, di kalangan OKU sudah selesa dengan "kurang" itu.  Di kalangan
pihak lain saja yang merasakan patut ada istilah lain.  Namun, istilah apa pun
yang diguna pakai, golongan yang hendak disasarkan itu tetap golongan itu juga
- golongan yang kurang.

Bagaimana pula kalau ada mereka yang ada lebih dari kebiasaan?  Contoh: ada 11
jari tangan, dua alat kelamin dan seumpamanya?  Apakah mereka ini boleh kita
pangil "Orang Lebih Upaya"?

Untuk makluman semua, di Lembaga Peperiksaan sudah diwujudkan satu sektor baru
yang dikenali sebagai Sektor Pembinaan Pentaksiran Alternatif (SPPA).  Bidang
tugas sektor ini nanti bukan saja untuk menguruskan pentaksiran bagi
calon-calon kurang upaya tapi juga akan menguruskan mereka yang lebih upaya
khususnya mereka yang digolongkan sebagai genius.  Jadi sama-samalah kita
tunggu bagaimana senario pentaksiran alternatif yang bakal dilaksanakan nanti
khususnya untuk mereka yang lebih upaya ini.

Along Zahari
  ----- Original Message -----
  From: NOR AZMAN BIN SUKERMAN
  To: oku_boleh@googlegroups.com
  Sent: Friday, July 23, 2010 6:22 PM
  Subject: (OKU BOLEH) OKU: ORANG KURANG UPAYA BUKAN ORANG KELAINAN UPAYA


  OKU : ORANG KURANG UPAYA BUKAN ORANG KELAINAN UPAYA

  Manusia dan bahasa adalah dua gabungan atau jalinan hidup yang memang tidak
boleh dipisahkan. Bangsa dan bahasa adalah anugerah Allah yang besar kepada
manusia dan melalui bahasa dan bangsa inilah kita dapat saling belajar dan
MEmahami akan manusia dan kemanusiaan. Oleh kerana manusia diberi Allah
kebolehan menguasai bahasa dan bukannya bahasa yang menguasai manusia, maka
manusia telah menggunakan bahasa untuk kepentingannya. Bahasa sering digunakan
oleh manusia untuk memgambarkan sesuatu agar objek atau subjek yang digambarkan
itu baik, terlalu baik dan amat baik atau buruk, terlalu buruk dan amat buruk.
Bukankah ada perpatah yang berbunyi "tiada kata secantik bahasa" dan anak-anak
muda juga selalu berkata "ayat engkau power la" atau "awek tu cair dengan ayat
engkau"? Ini menunjukkan bahawa bahasa itu jika pandai digunakan boleh merubah
sesuatu dari satu persepsi kepada psrsepsi yang lain.

  Sewaktu saya kecil apabila bertemu dingan orang buta, pekak, bisu, lumpuh,
kudung, tempang atau apa sahaja bentuk kekurangan fizikal yang terdapat pada
seseorang maka masyarakat akan menyebut orang itu "orang cacat". Penggunaan
istilah "orang cacat" walau pun bubyinya seolah-olah begitu kasar tetapi ia
dapat menyampaikan maksud sebunar yang ingin disampaikan oleh enggunanya.
Menurut Kamus Dewan cacat membawa maksud kekurangan atau keadaan kurang
sempurna. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Empat:  ms 234.

  Berdasarkan kepada difinisi yang diberi oleh Kamus Dewan itu maka jelas
kepada kita penggunaan perkataan "cacat" yang digunakan oleh generasi terdahulu
untuk menggambarkan keadaan seseorang itu adalah tepat. Namun begitu, pada
tahun-tahun akhir sembilan puluhan pihak-pihak yang berkaitan dengan orang
cacat telah menukar istilah "orang cacat" kepada "orang kurang upaya (OKU".
Penggunaan istilah ini tampak lebih boleh diterima oleh mesyarakat sama ada
golongan OKU itu sendiri, agensi-agensi yang berurusan dengan golongan OKU mahu
pun masyarakat umum. Penggunaan teminologi ini terasa lebih mesra OKU dan
terasa tidak merendahkan diri orang OKU berbanding dengan penggunaan istilah
"orang cacat" sebelumnya. Ia menjadi lebih mudah diterima kerana masyarakat
lebih menggunakan singkatannya sahaja iaitu OKU dan bukannya Orang Kurang Upaya.

  Keadaan ini jelas dapat dirasai oleh masyarakat dan golongan OKU dan
penerimaannya begitu meluas. asil dari terminologi itu maka pihak kerajaan
telah mengeluarkan satu kad pengenalan khas untuk golongan OKU dan kad ini
lebih dikenali oleh masyarakat dan diterima oleh sektor koperat dan egensi
kerajaan sebagai kad OKU. Ini merupakan satu usaha pemerkasaan yang dilakukan
oleh kerajaan dan usaha seperti ini harus dipuji.

  Penerimaan masyarakat terhadap pengunaan terminologi OKU ini semakin kuat dan
ini terbukti apabila ada pihak yang cuba mencadangkan agar golongan Oku ini
ditukar kepada golongan istimewa. adangan ini tidak mendapat respon yang
positif dari golongan OKU dan masyarakat. Masyarakat tetap menggunakan Oku
apabila berurusan dengan golongan Oku ini sama ada secara rasmi atu untuk
urusan-urusan seharian. Walau penggunaan istilah "golongan istimewa" nampaknya
cantik tapi ia tidak sama sekali menggambarkan keadaan sebenar dan keperluan
golongan OKU. Bagi golongan OKU gelaran itu amat merimaskan kerana golongan OKU
memang tidak ada keistimewaan yang melayakkan mereka menerima layanan istimewa.
Masyarakat pula merasa gelaran istimewa boleh membebankan mereka. Akhirnya
istilah itu hilang begitu sahaja.

  Sebenarnya satu perkara yang harus difikirkan oleh masyarakat adalah orang
cacat tidak semestinya merupakan orang kurang upaya atau OKU tetapi OKU ini
pasti cacat. Sebagai contoh, seorang pemuda pekak yang tanpan, kelihatan kacak
dan menarik serta berketerrampilan tidak diketahui kekurangannya sehinggalah
orang menegur atau menyapa dengan suara lantas dia membalas dengan bahasa
isyarat.
  Pemuda ini sebenarnya tidak kelihatan cacat pada fizikal tetapi dia merupakan
seorang yang kurang upaya. Berbeza pula dengan seorang gadis yang mukanya penuh
jerawat. Wajahnya kilihatan cacat dan boleh dipanggil cacat namun bukan kurang
upaya kerana memiliki segala panca indera yang diperlukan untuk meneruskan
hidup. Jadi, terminoligi OKU ini amat sesuai digunakanbagi menjelaskan keadaan
dan keperluan sebenar golongan ini.

  Apa pun keadaan tenang ini tidak kekal lama. Baru-baru ini bahasa sekali lagi
digunakan untuk kononnya mencantikkan keadaan sesuatu objek atau subjek. Oleh
pihak pihak yang berkenaan menyedari sinkatan OKU itu telah diterima umum dan
sukar untuk dipadamkan maka pihak tersebut telah meneruskan penggunaan OKU
tetapi menukarnya kepada "Orang kelainan Upaya". Persoalannya, apa perlunya
pihak-pihak ini membuang masa untuk menukar terminoligi tersebut sedang
terminologi dan singkatannya yang sedia ada yang telah berusia lebih kurang 10
tahun ini telah diterima oleh masyarakat dan juga orang OKU itu sendiri. yang
kedua, apakah kelainan yang ada pada golongan OKU sehingga ditukar perkataan
"kurang" kepada "kelainan"? Golongan ini sebenarnya memiliki keupayaan yang
sama dengan orang orang lain cuma mungkin secara relatifnya keupayaan itu
kurang hasil dari ketidak sempurnaan fizikal individu berkenaan. Bagi mereka,
mereka tetap berusaha seperti orang lain untuk hidup dan tidak ada
kelainan-kelainan tertentu yang membolehkan mereka hidup lain dari oran
lain.Jadi, yang pasti OKU tetap orang kurang upaya dan bukannya orang kelainan
upaya.

  Di sini, pihak-pihak yang berurusan terus dengan golongan orang kurang upay
(bukan orang kelainan upaya) diseru supaya benar-benar berkhidmat untuk
membantu golongan ini dan bukannya sekadar berseminar, mengarang kertas kerja,
berconvention dan berdialog di hotel-hotel 5 bintang sedang golongan OKU tetap
ditakok lama dan kemudiannya menyalahkan golongan OKU kononnya tidak proaktif,
tidak inovatif dan tidak memberi kerja sama. Kalau jaga orang buta
tolong-tolonglah belajar pegang tongkat dan tulis braille. Kalau jaga orang
lumpuh duduk-duduklah atas kerusi roda. Jangan asyik nak tukar istilah.

  Oleh yang demikian, saya menyeru agar kita bersama-sama berjuang untuk
memperbetulkan keadaan ini. Di sini dan dalam keadaan begini sekali lagi
kesedaran dan kefahaman politik amat penting dan diperlukan. Kesedaran dan
kefahaman politik boleh sebenarnya membangkitkan semangat untuk berjuang dalam
menegakkan hak kita dan menuntut keperluan kita dan ditambah pula memang kita
akan berhadapa dengan orang politik yang memegang kuasa dalam menentukan dasar
yang akan atau tidak membela kita. Jadi, bersama-samalah memahami politik agar
nasib kita terbela kerana tiada pihak lain yang boleh membela nasib kita
termasuk dalam soal istilah OKU ini melainkan kita sendiri.


* Note

Apa juga istilah yang digunakan nasib OKU dinegara ini masih tidak berubah.

TIADA GUNA NYA PENDAFTARAN OKU

Kita banyak terbaca, OKU digalakkan mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Baru baru ini pula ada yang menyarankan bahwa pendaftaran mungkin diwajibkan bagi semua OKU.

 Tetapi mengapakah ada  ramai lagi OKU yang masih tidak mendaftar. Sebenarnya ramai tertanya-tanya apakah yang diperolehi jika mendaftar. Jika pendaftaran hanyalah untuk merekodkan jumlah OKU yang ada dinegara ini, tak guna mereka mendaftar.

Apakah faedah-faedah yang diperolehi?
Apakah pihak yang berkenaan akan cuba memenuhi kemahuan OKU ini?
Apakah jenis bantuan yang akan dihulurkan? DAN BANYAK LAGI PERSOALAN

Selagi  banyak persoalan yang timbul tidak dapat dijawab oleh pihak yang berkenaan , tidak semua OKU akan mendaftar.

Masalah birokrasi untuk mendaftar juga satu masalah besar bagi OKU. Mengapa kah pemeriksaan doktor di hospital kerajaan adalah diwajibkan. Apakah phak JKM sendiri tidak boleh menilai kekurangan mereka Jika dilihat oramg yang datang itu dipimpin tentulah mereka orang buta. Jika yang datang tu berkerusi roda tentulah mereka cacat anggota. Atau ada yang terbaring tidak boleh meguruskan diri sendiri memang pasti mereka  OKU. Apakah pegawai JKM sendiri tidak boleh menilai kecacatan mereka. Kanak-kanak di tadika juga boleh mengenali OKU, inikan pula pegawai JKM.

Tahukah berapa lama terpaksa menunggu untuk mendapat pengesahan dari doktor di hospital kerajaan? Semuanya satu penyeksaan bagi OKU.

Jika dilihat ramai OKU yang telah mendaftar tetapi apa menafaat yang telah meraka perolehi, hanya lah
statistik untuk JKM. Statistik yang dibawa  kesana-sini tapi OKU  HABUK PUN TAK DAPAT

Wednesday, October 6, 2010

SALAHKAH OKU MENGEMIS?

Kita sering terbaca berita- berita dalam media, serbuan dibuat dan ramai pengemis ditangkap. Ada juga datang beribu batu untuk mengemis di negara kita. Kita juga tahu ramai yang jadi pengemis walau pun mereka boleh dikatakan tidak layak untuk jadi pengemis. Tapi ramai juga rakyat Malaysia walau pun negara sudah 53 tahun merdeka, mereka dikatakan layak untuk jadi pengemis.Siapakah mereka?  Tentulah golongan OKU.

Memang betul pihak kerajaan ada banyak menyediakan kemudahan untuk OKU terus hidup dinegara yang aman makmur ini, tetapi apakah semuanya mencukupi? Selain dari makan OKU juga ingin hidup seperti manusia lain. Mereka juga ingin merasa pakaian baru, tak kan pakaian terpakai saja sepanjang hidup. Mereka juga ingin mendirikan rumahtangga juga setidak-tidaknya bersama dengan golongan mereka juga.
OKU juga ingin memiliki keluarga dan bahagia bersama anak-anak mereka. OKU juga ingin menikmati makanan yang lain juga mungkin seperti KFC,Mc Donald atau pun Pizza. Takkan nak makan nasi kawah saja setiap hari. Mereka juga ingin tinggal dirumah sendiri juga, tidaklah selamanya hidup tinggal dirumah kebajikan.

APAKAH KEINGINAN BERIKUT DAPAT DISEDIAKAN OLEH PIHAK KERAJAAN? SUDAH TENTU TIDAK. MEREKA JUGA MANUSIA BIASA ADA KEINGINAN JUGA.

Apakah salahnya membenarkan mereka mengemis. Pihak kerajaan boleh membenarkan OKU ini mengemis tetapi dengan syarat-syarat yang ditentukan seperti tempat, masa atau pun cara nya.Ataupun menyediakan pakaian khas atau permit untuk mereka Di negara kita ramai  pemberi sedekah secara kecil-kecilan atau tidak yang mahu publisiti boleh menghulur derma kepada mereka.Mungkin dengan cara ini mereka boleh berdikari dan memulakan hidup sendiri.

Walau pun ada yang katakan perbuatan mengemis tidak enak dipandang tapi banyak lagi pekerjaan atau perniagaan yang lebih menjijikan seperti perjudian, pelacuran , rumah urut  dan  menjual barang larangan tapi tidak diambil tindakan walaupun dibuat terang-terang.

APALAH SALAH NYA MEMBENARKAN OKU MENGEMIS.


* Pandangan peribadi saja