JOHOR BAHRU 28 Sept. – Tersisih dan terpinggir adalah perasaan yang sering menghantui hidup golongan orang kurang upaya (OKU) berikutan kekurangan kemudahan asas untuk mereka di bangunan kerajaan, swasta dan tempat-tempat awam di negeri ini.
Tokoh OKU 2000 peringkat negeri, Low Yuen Nien, 47, berkata, kekurangan itu menyebabkan OKU tidak dapat berdikari dan melakukan urusan harian seperti individu normal.
“Kami masih bergantung dengan isteri, anak dan rakan-rakan apabila melakukan sesuatu urusan contohnya untuk pergi ke sesebuah bangunan atau meletak kereta.
“Kemudahan asas untuk OKU wajib disediakan di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan seperti di hospital atau pun bank namun kebanyakan tempat awam dilihat tidak mesra OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat aduan mengenai perkara tersebut di pejabat Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay di Taman Maju Jaya di sini hari ini.
Yuen Nien juga melahirkan rasa sedih dan kecewanya dengan sikap masyarakat yang enggan membantu golongan sepertinya dan lebih teruk lagi memandang rendah terhadap mereka.
Katanya, persepsi itu masih menebal dan keadaan tersebut membuatkan OKU berasa tertekan, merendah diri dan tidak punya tempat mengadu untuk meluahkan perasaan tersebut.
Sehubungan itu, bapa kepada empat cahaya mata itu berharap semua bangunan yang akan dibina mengikut standard dan ketetapan yang ditetapkan iaitu menyediakan kemudahan asas OKU.
“Kerajaan juga diharap dapat tubuhkan satu pusat khas OKU supaya kebajikan dan nasib mereka terbela. Contohnya kalau OKU ditindas majikan seperti gajinya tidak dicarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka boleh mengadu melalui pusat ini,” katanya.
Sementara itu, Micahel berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung masalah OKU yang kurang diberi perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab.
Jelasnya, kemudahan asas yang tidak cukup bukan masalah baru dan negeri ini seharusnya peka dengan perkara berbangkit itu dan tidak bersikap sambil lewa menanganinya.
“Kadang-kadang OKU mengadu, kemudahan asas seperti tempat letak kereta untuk OKU pun digunakan orang biasa. Ini tidak patut berlaku dan masyarakat perlu sedar tentang hal ini,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai sebuah negara bertaraf maju menjelang 2020, segala kemudahan asas untuk OKU perlu disediakan di semua tempat bagi menjaga hak dan kepentingan mereka.
* Petikan dari Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment